Khabar Angin

Kuo: iPad Pro Baharu Dan ‘iPhone SE 2’ Dilancarkan Awal 2020, Diikuti Kaca Mata Realiti Terimbuh Dan MacBook Pro Kekunci Gunting

Menurut penganalisis terkemuka daripada TF Securities iaitu Ming-Chi Kuo telah melaporkan bahawa Apple bakal melancarkan model iPad Pro baharu pada awal 2020 termasuklah ‘iPhone SE 2’. Beliau juga melaporkan, peranti berasaskan realiti terimbuh (AR) bakal dilancarkan pada suku kedua 2020 serta MacBook Pro baharu yang menampilkan kembali kekunci berasaskan rekaan suis seperti gunting.

Menurut beliau, iPad Pro baharu tesebut mempunyai sistem kamera belakang 3D dan sensor ‘time-of-flight’. Sama seperti sistem kamera TrueDepth yang terdapat pada iPhone dan iPad sekarang ini, model iPad Pro baharu akan boleh mendapatkan data persekitaran yang lebih tepat. Ini berkemungkinan untuk menambah baik pengalaman realiti terimbuh pengguna.

Kenyataan beliau mengenai ‘iPhone SE 2’ pada laporan tersebut hanyalah kemas kini daripada laporan sebelum ini diterbitkan pada minggu lepas. ‘iPhone SE 2’ dikhabar akan mempunyai rekaan seperti iPhone 8 yang dikuasakan dengan cip pemprosesan yang baharu dan terpantas iaitu Apple A13 serta turut dilengkapi dengan 3GB RAM. iPhone baharu ini dijangka akan diperkenalkan pada awal 2020 dan bakal meningkatkan penjualan iPhone tahun hadapan.

Selain itu, beliau juga melaporkan Apple masih meneruskan pembangunan aksesori peranti realiti terimbuh dan bakal diperkenalkan pada suku kedua tahun hadapan. Menurut Kuo, peranti ini bakal dipasarkan sebagai aksesori kepada iPhone dan sebagai paparan dengan penyambungan rangkaian secara nirwayar melalui iPhone. Namun, masih tidak dapat dipastikan samada peranti ini berbentuk seperti kaca mata atau pun seakan set kepala seperti Google Cardboard.

Penghasilan peranti ini juga dilaporkan akan bermula pada suku keempat tahun ini. Pada masa yang sama, beliau juga berkata Apple bakal bekerjasama dan berkolaboratif dengan jenama pihak ketiga untuk penghasilan aksesori peranti set kepala realiti terimbuh ini untuk iPhone.

Akhir sekali, Apple bakal mengemas kini MacBook Pro yang baharu dengan suis kekunci berasaskan rekaan seumpama gunting. Ini adalah untuk menggantikan kekunci kupu-kupu yang telah menyebabkan gagal berfungsi jika terdapat habuk kecil yang termasuk di celah-celah kekunci. Tetapi, beliau tidak menyatakan samada ia adalah MacBook Pro 16-inci (yang beliau laporkan sebelum dan bakal dilancarkan tahun ini) atau sebuah model komputer MacBook Pro yang baharu.

Apple dilihat ingin mengembangkan lagi variasi produk mereka di dalam kategori yang lain. Diharap, Apple mempunyai sasaran tertentu dan tepat untuk produk-produk yang bakal diperkenal dan dilancarkan pada tahun hadapan.

Sumber artikel: 9to5Mac dan MacRumors | Gambar utama konsep iPhone: ConceptsiPhone

Haziq Harun

Artikel ini saya tulis. Saya menulis artikel ini. Artikel ini ditulis oleh saya.

Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen